:: :: KakipancingPG [Cerita Pancing] :: ::
 
 
 

         
 

 

 

CERITA DAN LAPORAN PANCING

 
Klik sini untuk berita selanjutnya!LAUT SEDILI TIDAK HAMPAKAN KUNJUNGAN PEMANCING

SEDILI: Ramai pemancing menjadi gila apabila menjelajah perairan daerah ini terutama selepas musim tengkujuh Mac, April dan Mei kerana waktu itulah merah, tenggiri, ebek dan gerepoh dan GT bermain di bawah bot semasa memancing.

Begitu juga dengan kumpulan Dewa Pancing yang tidak puas dengan pertarungan akhir tahun lalu kini turun semula untuk menjengah beberapa lokasi rahsia tekong yang menjadi rumah spesies gred A bersaiz L dan XL.
Setelah faktor cuaca mendapat lampu hijau, sekali lagi kumpulan itu menduga perairan ini yang terkenal dengan lubuk-lubuk bagak laut itu. Penulis bersama dua lagi sahabat bersetuju untuk menduga perairan Sedili yang sudah ditinggalkan kerana tengkujuh melanda.

Setelah kata sepakat diambil tekong Md Nor terus dihubungi. Tepat jam 1 pagi 31 Mac lalu Abu dan Coolfish, tiba di rumah Mahmud iaitu tempat kami berkumpul sebelum bertolak ke sini. Kami tiba di sini tepat jam 3.30 pagi, pembantu Md Nor iaitu anaknya sendiri sudah siap sedia menunggu kami di botnya. Tekong yang tiba 10 minit kemudian mengukir senyuman terus mempelawa kami naik bot untuk bertolak.

Tepat jam 7.30 pagi sampai kami tiba di lubuk yang pertama iaitu unjam yang dibuat khas oleh tekong untuk mencari umpan ikan hidup. Buat pertama kalinya selama kami memancing di sini, umpan hidup begitu sukar diperoleh. Setelah bertungkus lumus memancing menggunakan teknik apolo, akhirnya kami berjaya mendapatkan kira-kira 50 ikan selar dan kembung hidup untuk dijadikan umpan.

Abu yang pertama berjaya menaikkan seekor tenggiri berskala 2 kilogram dengan teknik menghanyut. Tanpa membuang masa penulis dan Coolfish yang berada di bahagian belakang bot terus menghulurkan umpan untuk cuba menjerat tenggiri. Penulis lebih suka menggunakan teknik pancingan separuh air, manakala Coolfish gemar teknik menghanyut umpan hidup.

Setelah menunggu hampir 20 minit, akhirnya kekili dengan tali utamanya 40 paun milik penulis berbunyi dengan nyaring menandakan sudah ada mangsa yang mengena umpan. Tanpa membuang masa, penulis terus mencapai joran lalu menggulung talinya.

Aksi tegang urat leher berlangsung hampir 15 minit, akhirnya mangsa berjaya didaratkan. Ternyata seekor tenggiri 4.5 kilogram gagal memutuskan perambut dawai 20 paun yang diikat kemas pada mata kail 2/0 dan disambung rapi dengan perambut tangsi berkekuatan 25 paun sepanjang 2 depa (kira-kira 2 meter).

Kini tiba giliran Coolfish pula, kekilinya nyaring menjerit tetapi belum sempat berbuat apa-apa, mangsa berjaya memutuskan perambut dawainya. Jelas terbayang kehampaan diwajahnya.

Setengah jam berlalu sekali lagi kekili penulis berbunyi nyaring, Penulis terus mendapatkan joran dan menyentapnya. Kali ini mangsa yang melarikan tali jauh lebih kuat. Perlawanan agak kasar menyebabkan saya berhati-hati dan dengan pengalaman yang ada akhirnya mangsa iaitu seekor tenggiri seberat 13 kilogram berjaya dijinakkan dalam masa 30 minit.

Pada sebelah petangnya angin timur bertiup agak kuat dan menyebabkan laut gelombang tinggi. Berbekalkan umpan yang masih ada, tekong terus memacu botnya menuju ke Karang Long. Perjalanan mengambil masa 1 jam setengah. Kami tiba jam 5.30 petang dan terus menurunkan umpan.

Mungkin disebabkan air yang terlalu laju, tiada Tenggiri yang sudi menjamah umpan kami. Abu yang bertukar tempat di belakang bot menggunakan teknik pancingan dasar ternyata berkesan seekor mayong berskala 3 kilogram berjaya dinaikkan.
Pada sebelah malam kami digasak hebat hingga pagi oleh ikan mayong.

Kami silih berganti menaikkan spesies itu sekali sekala diselangi tambak berskala 2 kilogram. Menjelang subuh, penulis berjaya menaikkan seekor ketarap seberat 4 kilogram dan seekor kaci seberat 3 kilogram ternyata lubuk Karang Long yang kedalamannya kira-kira 30 meter banyak dikuasi ikan mayong pada malam itu, selepas sarapan kami dibawa oleh tekong Md Nor menuju Karang Ngah.

Coolfish menjadi orang pertama menerima sentapan tenggiri tetapi mangsa tidak menunjukkan kekuatannya yang sebenar, lantas beliau menyerahkan jorannya kepada Achik (anak tekong Md Nor). Kegembiraan jelas terpancar dari riak wajah mereka apabila Tenggiri seberat 14 kilogram berjaya digancu tekong. Penulis juga menerima satu sentapan kuat, setelah bertarung selama 20 minit akhirnya seekor aruan tasek seberat 11 kilogram berjaya ditewaskan.

Menjelang jam 2 tengahari, kami bertolak pulang ke jeti Sedili. Kami sangat puas atas hikmat tekong Md Noor. Kami akan kembali lagi dalam masa terdekat untuk menjejaki lubuk yang lain seperti Karang Lintang, Kapal Karam Deris, Kapal Karam Ghani dan Tokong Yu.


Klik sini untuk berita selanjutnya!BERTARUNG DENGAN GT BAGAK KUALA ROMPIN

KUALA ROMPIN: Bertarung dengan jemuduk atau giant trevelly (GT) (Caranx ignobilis) hampir 25 kilogram memerlukan kekuatan luar biasa dan satu pengalaman yang amat menarik untuk diceritakan kepada orang lain.

Lebih-lebih lagi sekiranya pemancing tidak menggunakan joran berjenama dan bermutu tinggi sewaktu menjinak dan mendaratkan jemuduk melebih jangkaan beratnya.

Malah mendaratkan spesies ikan bersaiz besar sememangnya menjadi impian setiap kaki pancing khususnya di laut.

Justeru, detik dan saat yang sangat menarik bagi menduga perairan Kuala Rompin, Pahang khususnya di kawasan Tukun Tayar atau Karang DO yang banyak memiliki spesies ini.

Seperti biasa, Tan Fair Seng, memilih umpan hidup dan beliau memancing dengan menggunakan teknik tersendiri bagi mendapatkan umpan hidup segar.
Umpan hidup di perairan berkenaan tidak menjadi masalah kerana terdapat banyak unjam nelayan yang sentiasa menyediakan pelbagai pilihan umpan seperti kembung, selar, tamban, selar kuning dan sotong.
Fair Seng, 24, segera berharap agar ikan besar memakan umpan selar hidup yang digunakan di pertengahan air.

Umpan selar yang dilabuhkannya lazimnya tidak menunggu lama untuk menggamit selera mangsa. Sebatang joran lagi dipasang sotong segar yang turut diperolehnya dari laut itu.

Umpan yang dipasang cepat mengundang mangsa yang berlegar memburu makanan. Tidak lama selepas itu, joran yang menggunakan tali saiz 50 paun mula berdesing ditarik ikan.

Umpan yang dilabuhkan sudah diterkam mangsa, tali tangsi mula tegang ditarik keluar dari gelendungnya. Kekuatan ikan membuatkan Fair Seng terpaksa menahan nafas dan terpaksa bertahan seketika sambil mengawal joran yang diasak jemuduk (GT).

“Saya amat takut kalau tali-tali ini putus, terutama ikan tenggiri yang memiliki gigi yang tajam,” kata Fair Seng (gambar).

Nafas dan degup jantung Fair Seng kencang selama hampir 45 minit bagi melayan ikan berkenaan sebelum ia dapat ditewaskan.

“Jemuduk ialah sejenis spesies yang terkenal dengan daya juang serta mampu membuatkan kaki pancing senak perut menahan asakannya,” kata Fair Seng yang telah banyak kali mendaratkan jemuduk. Namun jemuduk kali ini agak berat dan besar.

Bagi Fair Seng, ia satu pengalaman cukup seronok dan cerita yang mahu dikongsi bersama kaki pancing lain yang turut inginkan ikan yang sama di perairan Rompin itu.

Jemuduk itu adalah yang terbesar pernah dipancing beliau, sebelum ini aruan tasik, layaran, alu-alu, tenggiri, ikan merah sering menguji ketahanan peralatan Fair Seng setiap kali keluar memancing.

Pernah sekali berpuluh ikan tenggiri dipancingnya dalam beberapa jam berada di perairan itu terutama di selatan Rompin.
Manakala ikan layar sudah biasa dijinakkannya setiap kali berkunjung ke laut dan ia dilepaskan semula bagi menjamin populasinya.

Ikan layar hanyalah sekadar satu tangkapan bagi memenuhi impian kaki pancing yang menggunakan beliau sebagai tekong memancing di laut.
Fair Seng, yang memiliki bot sendiri, sering membawa pemancing dari serata tanah air dan pemancing antarabangsa seperti China, Hong Kong, New Zealand dan Singapura.

Paling tidak sebulan sekali trip bersama pelanggannya diatur walaupun memakan masa beberapa jam untuk tiba di beberapa lokasi yang menjadi pilihan kaki pancing.

Menurut Fair Seng, beliau mahu mendalami lagi bidang menangkap ikan di perairan itu bagi membolehkannya bergiat dalam sektor pelancungan berasaskan sukan memancing.

Menjelaskan rahsianya, Fair Seng tidak memilih umpan sebaliknya menggemari umpan hidup bagi membolehkan beliau menarik selera mangsa daripada spesies berharga di tengah laut itu.

Fair Seng juga tidak tamak tetapi peik apabila mendapati ramai kaki pancing suka membawa banyak batang pancing setiap kali turun memancing tetapi baginya cukup sekadar membawa satu joran sambil mengawal bot kerana jika ada rezeki ia tetap memberikan hasil lumayan.

Ini terbukti apabila setiap kali memancing di perairan Rompin itu, Fair Seng tidak pernah kecewa dan pernah dinobatkan sebagai tekong terbaik dalam kalangan kaki pancing di Rompin serta pertandingan Royal Pahang Billfish Challenge (RPBIC) yang diadakan di situ.
Selain itu Fai Seng juga mahu pemancing lebih bijak memilih jenis bot yang bakal digunakan ketika memancing.

Menurutnya, tidak semua bot gentian kaca boleh membenarkan joran dipasang terlalu banyak kerana ruang sempit menyukarkan pemancing bertarung jika tali bersilang ketika joran mengena ikan.

Hasil yang dibawa pulang cukup dengan pelaburan yang dibuat. Fair Seng yang masih muda dan berusia 24 tahun mempunyai pengalaman memancing serta menangkap ikan di laut. Malah berhasrat memiliki beberapa bot memancing.
Fair Seng yang bertindak sebagai tekong turut membantu pemancing dengan memberi tunjuk ajar memancing dan begitu senang diajak berbual.

 

Klik sini untuk berita selanjutnya!LUBUK EMAS PEMANCING KE PULAU AUR, MERSING

MERSING: Allahuakbar Walillahilham, suara takbir kian jauh berlagu meninggalkan suasana meriah berhari raya, apabila menerjah datang tiupan angin timur dari Laut China Selatan.

Kesempatan ini di sambar pemancing kumpulan Tuna Biru untuk mengisi ekspedisi meneroka laut dalam selepas sebulan menyambut Ramadan Al-mubarak dan Syawal masih muda.

Jauh antara Pulau Pemanggil dan Pulau Aur, tekong Taib bagaikan melarikan diri dari tanah daratan Pulau Tioman yang sudah sebati dengan kumpulan Tuna Biru (Tengo Bravo).

Hampir mencecah enam jam perjalanan dari Kuala Mersing menuju satu kawasan jauh yang belum kami diajak berjinak dengan dasarnya yang pasti menyimpan khazanah purba dari karang semula jadi yang sudah tertanam beratus tahun di lokasi yang dicari.

Pilihan kaki pancing lasak dari kumpulan Tuna Biru ini sekali gus membuka tirai di penghujung musim 2006 yang sepatutnya sudah ditamatkan aktiviti memancing pada musim ini atas sebab-sebab keselamatan kerana tengkujuh bakal tiba, tapi kami terpanggil semula apabila tekong Taib menghantar SMS “Musim tenggiri dah tiba”.

Lapan nama dipilih mengisi ekspedisi mencabar ini kerana biasanya pada penghujung tahun pemancing akan berdepan dengan musim tengkujuh pada bila-bila masa saja. Namun lapan nama pilihan termasuk penulis sendiri sebagai ketua kumpulan Tuna Biru, Pak Abas, Johari, Md Nor, Ijal, Wan Anuar (Wak Wan) Mahadi (Panjang), Maai dan Ujang sudah bersedia menghadapi cabaran ini.

Labuhan yang dipilih oleh tekong Taib kali ini menjadi kenyataan paling bermakna bagi kami walaupun paras air mencecah sedalam 80 meter. Spesies ikan terbaik jenahak dan merah serta ebek paling awal berjaya dijinakkan oleh Md Nor dan Ijal sebaik saja umpan hirisan isi ikan selayang diturunkan.

Keadaan arus terbaik antara pasang dan surut justeru inilah ditunggu oleh pemancing kerana ketika ini spesies ikan dasar mencari makan atau lebih dikenal dengan makna arus lemah ikan lapar di kalangan kaki pancing.

Aktiviti memancing berlarutan hingga ke malam namun rezeki dari khazanah dasar karang purba masih mencurah yang kadang-kadang berselang seli dengan ikan jemuduk dan cupak yang gemar memburu umpan kepingan besi berkilat (jigging).

Johari (Jo) yang dianggap sudah menggantung joran pada musim 2006 ini kerana tidak turun memancing sejak awal lagi terpanggil mengisi sisa-sisa yang cuma tinggal di penghujung musim tidak melepaskan peluang.

Beliau bekerja keras hingga bertemu pagi manakala Wak Wan dan Pak Abas sudah terlentang dalam kabin. Panjang, Ijal dan Ujang serta Maai masih beraksi dalam keadaan 50/50 keletihan. Tiga tong merah nelayan sudah padat dengan hasil tangkapan sepanjang malam.

Kami bagaikan tidak percaya bahawa spot yang dipilih tekong Taib kali ini merupakan lubuk emas yang belum terusik.

“Hadiah hari raya,” penulis mengusik sambil menghirup kopi panas sambil itu tekong Taib sendiri tidak menyangka bahawa labuhan pertama kali dicari dari ilham ayahnya yang juga veteran nelayan Pulau Tioman mendatangkan hasil paling lumayan.

Sambil berihat, penulis dan Ijal melakukan pancing hanyut dengan melepaskan ikan selar hidup bermain di permukaan air dan pada pertengahan air.

Selar hidup tidak lama dapat bermain kerana kedua-duanya di sambar spesies ikan bergigi tajam. Penulis dan Ijal bertindak balas dengan gaya masing-masing.

“Tenggiri,” jerit Taib lantas mencapai gancu dan berdiri rapat di belakang penulis. Tali sulam 80 paun memberi keyakinan kepada penulis bahawa mangsa sukar untuk melepaskan diri dengan memutuskan tali utama.

Ijal berjaya menjinakkan seekor tenggiri seberat 6 kilogram, manakala penulis masih bermain dengan kerenah spesies ikan yang mungkin sama.
Tekong Taib sepantas kilat menyambar badan tenggiri dengan gancunya sebaik mangsa tiba di permukaan air.

“Wau......” penulis mengeluh penat setelah berjaya mendaratkan tenggiri sambil itu Jo dan Mahadi (Panjang) mendapat giliran joran mereka dihenjut kuat pada pertengahan air.

Selar hidup yang dilabuhkan mengena. Masing-masing berjaya mendaratkan barakuda bersaiz XL manakala Mod Nor, Pak Abas dan Wak Wan mengaut ikan jemuduk dari dasar.

Trip kali ini berbaloi dan dianggap sebagai hadiah hari raya tapi apa pun penghujung musim (hujung tahun) bukanlah satu waktu yang baik untuk turun memancing di laut sebelah sini.

Musim tengkujuh biasanya akan mengambil alih pada bila-bila masa saja tanpa memberi tanda awal. Keselamatan nyawa perlu diutamakan dari memilih keseronokan sendiri tanpa batas.

Laut jangan dibuat janji – angin jangan dibuat kawan– gantung joran laut pada musim ini – kolam boleh melepas gian memancing.
 


Klik sini untuk berita selanjutnya!CERITA BERKAITAN UDANG GALAK

UDANG GALAH (Macrobracium rosembergii) sering dikaitkan dengan sang bedal. Di mana banyak udang galah, di situlah banyak buaya. Dikatakan, udang berkeliaran atas belakang buaya untuk mencari makan, berikutan banyak lumut lembut serta bahan terampai di atasnya.

1. Sifat: Dikelaskan sebagai demersal berikutan sifat asalnya mendiami dasar sungai. Mempunyai dua tangan utama (sepit) untuk mencari makanan serta beberapa misai (sesungut) yang bertindak sebagai pengesan musuh dan makanan.

Ia mempunyai banyak kaki, khususnya kaki renang dan juga kaki rayap.

Badannya diselimuti cengkerang separa keras berketak sebagai ‘jaket keselamatan’ yang kalis bakteria. Jantina spesies ini boleh dibezakan dengan jelas. Udang betina matang lebih kecil, sepit galah kecil serta berwarna pucat kemerahan, sementara induk jantan mempunyai sepasang sepit galah besar, kuat dan badannya berwarna kebiruan.

2. Pemakanan: Dikelaskan sebagai maserba dengan memakan apa saja. Ia juga bertindak sebagai pemangsa kepada anak-anak ikan kecil. Di habitat asal, selain memburu anak-anak ikan ia juga memburu cacing tanah yang banyak terdapat di tebing sungai berlumpur.

3. Habitat: Menjadikan kawasan lubuk berair tenang sebagai rumah. Dasar sungai selut berpasir menjadi kawasan kediaman utama baginya.

Lazimnya habitat ini berubah menjelang banjir. Waktu ini ia bergerak dari tempat persembunyian menyusur arus dengan mencari makanan terampai yang banyak dibawa arus di tebing sungai.

4. Lokasi: Mudah dikesan sepanjang Sungai Pahang bermula dari Pekan hingga ke Kuala Lipis dan Sungai Kuantan. Paling mudah dikesan ketika banjir dan selepasnya. Ia juga mudah dikesan bersembunyi di bawah sangkar ternakan ikan sambil mencuri makanan yang terlepas keluar.

5. Pembiakan: Berikutan ia mendapat permintaan tinggi, banyak pusat penetasan udang galah yang wujud, sama ada diusahakan individu atau Jabatan Perikanan.

Di habitat asal, pembiakan berlaku di kawasan semula jadi, sementara peratus kejayaan penetasannya bergantung kepada suhu air dan persekitaran.

Anehnya, apabila tiba musim menetas, induk betina matang yang berada di hulu akan mudik ke hilir mencari kawasan air payau untuk proses penetasan.

6. Menangkap: Ditangkap menggunakan jala, rawai, bubu berumpan, pukat dan jaring. Kaedah paling berkesan ialah menggunakan jala, jaring dan rawai berumpan. Biasanya, pemburu menabur beras masam di kawasan lubuk dan dibiarkan setengah jam sebelum menebarkan jala. Bau masam boleh menarik udang dari jauh untuk memakannya.

7. Pemuliharaan sumber: Lazimnya, udang galah gred satu mencecah harga RM35 hingga RM42 sekilogram, sementara gred dua RM28 hingga RM32 sekilogram. Berikutan itu, timbul sikap tamak sesetengah pihak yang sanggup menggunakan kaedah terlarang seperti racun atau tuba sebagai jalan pintas menangkapnya.

8. ResipI: Paling sedap udang galah dimasak lemak cili padi atau goreng berlada selain dimasak kukus.

 


Klik sini untuk berita selanjutnya!PERTARUNGAN 45 MINIT HASILKAN PARI 45KG

KUALA SELANGOR: Hampir 4 jam kami menunggu. Hanya getuan kecil bergegar di hujung joran. Kemudian apabila diperiksa, umpan hanya tinggal sisa. Ikan besar seolah tiada sama sekali atau belum berselera dengan umpan.

Kami hairan, kerana beberapa trip sebelum ini umpan sotong cumit hidup jarang ditolak oleh mangsa. Hampir separuh malam kami berjaga bagi menyauk sotong sebagai umpan alternatif terbaik.

Pada masa sama, umpan dihulurkan setiap kali cumit disauk. Enam joran yang dilabuh belum lagi ada yang melentur seperti diidamkan.

Ada tiga sampan termasuk bot nelayan turut berlabuh berhampiran tetapi hanya seketika kemudian beredar meninggalkan kami beberapa jam berikutnya.
Mungkin disebabkan tiada ragutan ikan besar memaksa sampan itu mencari lokasi lain.

Entah mengapa, kami tetap sabar menunggu sekalipun tidak ada perlawanan yang diidamkan.
Sotong cumit hidup yang disauk begitu galak berenang ke sana ke mari dalam bekas umpan apabila amat-amat jarang kami menangguknya.

Tepat jam 4 pagi, jeritan kekili Hidayyad kedengaran dan mengejutkan kami yang hampir terlena ketika itu. Umpan sotong cumit hidup diterkam pemangsa dasar dan terus melarikan diri.

Kekili Abu Garcia 7000C dipadankan dengan tali sulam Fire Line berkekuatan 80 paun terus meluncur laju. Sistem tegangan dikunci hingga tahap maksimum. Namun langkah itu seolah-olah tidak memberi kesan pada ikan untuk mengurangkan larian.

Hidayyad cuba mengepam joran Abu Garcia Tournemant II berkekuatan 15 ~ 30 paun tetapi tentangan balas yang diberikan belum cukup untuk melemahkan ikan. Melihat kekuatan larian ikan, Hidayyad menukar taktik daripada menyerap balas kepada taktik bertahan selama yang mungkin.

Menjelang 30 minit berlalu hanya 30 peratus tangsi keluar dapat dikarau balik. Melihat gaya larian, kami meneka ikan yang menelan umpan berkenaan. Hidayyad berpindah di belakang sampan. Kudrat antara pemancing dan ikan mula menurun. Bila larian ikan menurun, tekanan ditambah. Tangsi mula kembali memenuhi kekili Abu Garcia.

Selang 5 minit, bayang ikan pari mula menjelma di permukaan. Masalah lain timbul apabila gancu yang digunakan untuk menaikkan ikan ke bot lurus setiap kali digunakan.
Tiada pilihan lain, kami membiarkan Hidayyad melayan pari hingga benar-benar letih bagi memudahkan kerja mengangkatnya menggunakan tangan.

Risikonya tinggi kerana bukan mudah untuk menggenggam pari hidup dengan tangan ke atas sampan. Dengan pengalaman yang ada kami memberanikan diri memegang kedua-dua bahagian mata ikan pari sebelum berjaya menarik ke atas.

Tepat jam 4.50 pagi pari Hidayyad ditewaskan selepas penat bertarung. Anggaran berat kami hanya letak 45 kilogram sesuai dengan masa dan tempoh pertarungan menentang pari yang berkesudahan selama 45 minit
 


Klik sini untuk berita selanjutnya!
10 PANDUAN NIKMATI KESELESAAN MEMANCING

. MEMANCING adalah hobi yang santai. Ia membawa anda kembali kepada alam, kedamaian jiwa dan minda. Justeru, hobi ini perlu dipraktikkan dengan penuh etika untuk mencapai keselesaan dan kedamaian serta memperoleh tumpuan.

Berikut adalah beberapa panduan bagi memastikan anda dalam keadaan selesa, selamat dan memperoleh tangkapan terbaik bagi setiap trip memancing. Yang penting, anda benar-benar seronok memancing!

1 Jangan meminum arak – Ini tindakan bijak untuk mengelakkan pelbagai perkara buruk berlaku di lokasi pancing.

Walaupun kononnya minum arak bakal mengundang kegembiraan sebenarnya perbuatan itu bukan saja menyusahkan diri sendiri malah rakan, tekong dan orang tersayang yang anda tinggalkan di rumah.

Adalah lebih baik anda meminum lebih banyak jus buah-buahan, air mineral dan minuman ringan lain. Malah bagi sesetengah trip, meminum air karbonat mampu mengatasi sebu angin dalam perut sekali gus muntah.

2 Pada sebelah malam atau ketika berada dalam cuaca sejuk, minum lebih banyak minuman panas seperti kopi, minuman tenaga dan tonik. Ini bagi memastikan anda kekal hangat dalam cuaca sejuk itu.

3 Jangan berkira soal membeli makanan bertenaga dan berkhasiat terutama untuk dibawa ke lokasi pancing. Tenaga diperlukan untuk anda melakukan pancingan dasar, pancingan berumpan atau pancingan layang. Malah memancing adalah aktiviti fizikal yang memerlukan banyak tenaga. Jika anda mula terasa lapar, letih atau lesu, ini mula mengundang fikiran anda untuk balik ke rumah.

4 Jangan sekali-kali lupa membawa topi sekali pun anda tidak mahu memakainya. Sekalipun anda mungkin lasak dan mampu melalui panas terik tetapi topi mungkin diperlukan jika hujan atau sebelah malam. Kepanasan sebenarnya turut melemahkan badan. Jadi dengan bertopi atau memancing di tempat yang terlindung, ini akan menjimatkan tenaga anda!

5 Pastikan anda sentiasa dalam keadaan bersih dan kering. Sebab itu, pemancing yang naik sentiasa membawa tuala tangan atau memakai sarung tangan bagi memastikan tapak tangan bersih. Cuci tangan serta-merta selepas memasang umpan seperti dedak, cacing dan ikan. Ini untuk mengelakkan anda menggunakannya bagi memegang makanan atau minuman.

6 Sentiasa berhati-hati ketika berada di tebing sungai, tali air, atau laut terutama ketika musim hujan. Tebing ketika itu licin dan anda mungkin tergelincir. Ingat, jatuh tergelincir akan menyebabkan pelbagai bentuk bahaya dan kecederaan. Malah tahap paling serius anda mungkin lemas dalam air!

7 Jika ada nyamuk, agas atau serangga lain yang menggigit, anda boleh menangani dengan menyapu permukaan kulit yang terdedah dengan salap (balm) anti-serangga. Anda benar-benar tidak boleh memancing jika asyik melayan nyamuk atau agas!

8 Jika anda berhasrat memancing dengan meranduk air, pastikan anda tahu di mana hendak berehat seketika bila badan gatal. Sebab itu, pastikan anda memakai salap, pakaian bersih dan kering untuk mengelak gatal.

9 Jangan membawa terlalu banyak perkakasan di lokasi pancing sehingga anda umpama dihalau dari rumah. Bawa yang perlu dan berkongsi dengan rakan adalah cara terbaik mengurangkan beban.

10 Jika anda bermalam di lokasi pancing, pastikan anda membawa perkakasan lengkap untuk tidur seperti beg tidur, kelambu, pangkin mudah pasang dan khemah. Jangan memperjudikan badan dengan tidur di atas timbunan rumput, daun atau tikar.

 

Klik sini untuk berita selanjutnya!TRIP TANJUNG SEDILI DIN TOP-UP PADA 20 MAC 2008

kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca mengenai trip memancing di sedili johor pada 20 mac 2008. Bersamaan 12 Rabiul Awal 1420 Hijrah.

Trip di sertai Oleh : Hj Shafie, Gandi, Tun Wan, Din Top-up, Apis, Sharif & Lan.

     Kami bertolak dari rumah Hj Shafie di Bandar Baru Uda pada jam 1 pagi dengan menaiki sebuah Pajero dan sebuah Nissan Terrano. Lebih kurang 1 jam setengah perjalanan, barulah kami tiba di Tg Sedili dan berhenti untuk minum di sebuah warong sementara menunggu jam 3.30 pagi seperti yang di janjikan oleh Tekong Pak Aris.

     Trip Kali ini diketuai oleh Hj Shafie dan disertai oleh 8 sahabat memancing, Tekongnya pula adalah Tekong Pak Aris yang dibantu awak-awak. Aku tidak beraper sehatlah tiba-tiba pak aris bersuara kepada Hj Shafie, Pada awalnya untuk membawa kami ke lubok memancing yang telah dirancangkan. Tetapi memandangkan trip telah diatur awal dan barangan keperluan memancing dan makanan telah disiapkan, Kami paksa juga Tekong membawa kami ke lubok tersebut.  

     Tepat jam 3.30 pagi kami mula mengangkat barang-barang keperluan ke dalam bot.  Kami bertolak lebih kurang jam 4.15 pagi dengan keadaan cuaca yang baik, kerana malam sebelumnya hujan turun dengan agak lebat. Setelah 1 jam perjalanan enjin bot yang kami naiki tiba-tiba terhenti, "alamak rosaklah pulak" kedengaran suara. Entah suara siapa agaknya. dan setelah di periksa , tali sawat enjin terlucut dari takal. Lebih kurang setengah jam untuk membaiki kerosakan tersebut. Tekong Pak Aris telah biasa dengan situasi begini agaknya ini jika silihat dari ketenangannya ketika menyelesaikan masalah tersebut. Sementara itu kami mengambil peluang untuk menyiapkan peralatan memancing, ikat tali perambut dan bersantai sambil menunggu keadaan pulih, sempat juga salah seorang dari peserta trip melabuhkan pancing di belakang bot , namun tiada getuan ikan.

     Kami menyambung semula perjalanan, dan lebih kurang 2 jam barulah kami sampai ditempat yang di tuju iatu lebih kurang jam 6.30 pagi. Dengan tidak membuang masa masing-masing menurunkan set pancing, dengan meggunakan umpan sotong yang di beli di pasar borong. Saya tergerak untuk menggunakan umpan udang hidup , kerana merasakan ia lebih efektif , jangkaan saya tepat kerana tidak sampai 5 minit joran saya telah di rentap oleh ikan , dan setelah di karau ia nya adalah kerapu bersaiz 1 kg.Setelah melihat saya menaikkan kerapu, masing-masing menukar umpan kepada udang hidup , tetapi saya lebih dahulu menaikkan ketarap bersaiz 1 kilo. 

Tersengeh Abg Apis bergayoo ngan Ketarap 3.5kg

En Gandi beraksi Selamba Ngan Kerapu

     Di dalam hati berkata “Aku champion” untuk trip kali ini , tetapi selang 5 minit ApiS menambah kemeriahan awal pagi dengan menaikkan ketarap bersaiz 3.5 kg. Masing-masing telah di kejutkan dengan serangan ketarap dan tambak, tetapi saya sempat juga merakam gambar rakan-rakan yang lain walaupun sibuk melayan serangan bertalu-talu. Bukan apa , kerana memikirkan saat-saat begini mungkin tidak dapat di nikmati selalu dan ia nya amat berharga.

Aksi Apis & Lan menunggu getuan

Pemandangan Pulau Tokong YU

   

 Selang 3 jam kemudian getuan ikan mula berkurangan dan tekong mengajak kami untuk berpindah, dalam masa yang sama tekong sudah mula pening dan muntah kerana tidak sihat disetai Ipin yang langsung tidak dapat memancing dari awal LAGI.

Tengah Bersantai Tunggu sampai ke lokasi memancing

Aksi Tun Menaikkan Ketarap Ngan Tambak sekali gus

     Tiba di lokasi kedua berhampiran Pulau Tokong Yu , kami menyambung pemburuan kerapu & ketarap , hasilnya juga amat membanggakan. Sementara itu pembantu tekong mula meyiapkan hidangan makan tengahari , beliau menghidangkan lauk asam pedas ikan jemuduk segar yang di perolehi malam semalam nya. Kami berhenti untuk memancing kerana aura asam pedas ikan jemuduk lebih kuat dari tarikan ikan. Setelah selesai kami sambung semula memancing.

     Ada peserta yang mencadangkan kami pergi ke unjam untuk aksi yo-yo tetapi memandangkan lokasi tersebut agak jauh ( berhampiran karang ngah ) dan tekong tidak berapa sihat kami membatalkan hasrat tersebut.mula menunjukkan taring dan misai nya apabila menaikkan ketarap dan tambak sekaligus. Kami terus memancing sehingga jam 4petang dan tekong mengarahkan kami untuk bergegas pulang kerana beliau sudah tidak berdaya lagi. Kami pulang dengan rasa tak berapa nak puas sangat. Tiba di jeti lebih kurang jam 6.30 petang dan kami berkemas untuk pulang. Kami tiba di Bandar Baru Uda pada jam 9:00 malam. Sekian sahaja untuk kali ini dan jumpa lagi pada trip akan datang  


Klik sini untuk berita selanjutnya!TRIP XPDC 5 HARI 4 MALAM MENDUGA DI PERAIRAN TERENGGANU

         Apabila saya mendapat tahu trip kali ini pada bulan April 2008. Awal lagi dah “booking”CUTI. Kelengkapan seperti mata pancing, perambut, tanduk dan batu ladung telah dibeli awal, memandangkan jika dibeli sekali gus kosnya tuuu tak cukup RM500 mau kena bebel ngan bini. 4 April 2008.Tibalah hari yang ditunggu. Trip 5 hari 4 malam ini adalah untuk menduga perairan Terengganu. Kumpulan Kali ini telah disertai seramai 8 orang pemancing yang terdiri daripada Ismail, Nazri (ketua trip), Rizal dan En Mat Selancar dari Segamat sementara Zamri (penulis), Jupri dan Awie dari Pasir Gudang dan Pak Mat Sri Medan dari Batu Pahat. Ini adalah trip kedua saya bersama Nazri sementara Ismail pula ini adalah trip ketiga beliau dan bagi Jupri dan Awie pula ini adalah trip pertama mereka menduga perairan Terengganu. En Mat Selancar dan Pak Mat Sri Medan pula adalah orang lama (Otai) yang sudah banyak kali mengikuti trip seperti ini. Kami bersolat Jumaat di Segamat, selesai menunaikan solat Jumaat kami pun mulakan perjalanan dan tiba di rumah tekong Pak Awang di Seberang Takir kira-kira pukul 10 malam dengan menaiki 3 kenderaan.

Pak Awang sedang menyediakan makanan tengahari kami
Penulis Abang Zamri

SIPENCURI UMPAN 

    Setelah tidur semalaman dirumah tekong, keesokan paginya kami memunggah segala kelengkapan ke dalam bot dan bertolak menuju ke destinasi pertama iaitu Kapal Karam. Perjalanan ke Kapal Karam mengambil masa lebih kurang 7 hingga 8 jam dari jeti Seberang Takir dan kesempatan ini kami ambil dengan menyediakan kelengkapan serta tidur dan rehat dengan secukupnya. Dalam perjalanan biasanya Pak Awang akan singgah mencari umpan selayang segar di beberapa unjam walaupun umpan telah dibeli. Seperti kebiasaan Jeff (anak tekong) dan 3 orang awak-awak yang turut bersama pada trip ini menurunkan apollo untuk mencari umpan. Susah nak cari awak-awak yang rajin macam dia orang ni. Biasalah bila sampai di unjam ni, kami memulakan dengan sesi warm-up dengan si pencuri umpan iaitu Belitong @ Dorado. Sifatnya yang suka bergerak berkumpulan memudahkan kami memancingnya. Kecoh satu bot bila 3 ekor si pencuri umpan ni menyambar ikan selayang yang di hulur secara serentak. Banyak juga belitung yang berjaya kami naikkan. Menurut Pak Awang, ikan belitong ni sedap dibuat ikan masin. Setelah merasakan umpan mencukupi, kami meneruskan perjalanan ke lubuk pertama iaitu Kapal Karam

 

Zam & Anak Tekong

Zam, Jupri & Awie ketika keluar dari seberang Takir

LUBUK KAPAL KARAM

    Kami tiba di Kapal Karam kira-kira pukul 6.00 petang. Setelah lubuk ditanda dengan pelampung, sauh pun diturunkan.  Kami semua menurunkan umpan dengan serentak, biasalah tengok ‘siapa yang kena’ dulu. Kelebihan menyewa bot nelayan yang menggunaan teknik menangkap ikan dengan “Bubu” ni, mereka mempunyai banyak lubuk rahsia terdiri dari kawasan karang dan sudah tentunya mempunyai ikan gred A seperti Jenahak, Kakap Merah dan Kerapu. Rizal yang berada di depan menjadi orang yang pertama menaikkan ikan jenahak pada malam itu yang beratnya sekitar 3 kg. Kecoh seketika bila tiba-tiba mesin Pak Mat Sri Medan menjerit ditarik ikan hingga tercabut joran dari ‘rod holder’ tapi nasib baik set pancing beliau diikat dengan kemas, kalau tak jadi tukunlah jawabnya. Ikan berjaya menarik tali sulam 100 paun beliau sepanjang kira 50 meter tapi sayangnya  tali utama putus akibat drag yang dikunci terlalu ketat. Pada malam tersebut saya berjaya menaikkan 2 ekor cupak yang beratnya antara 3 ke 4 kg seekor sementara Nazri & Zamri yang berada di belakang, masing-masing menaikkan  jenahak dan cupak. Teknik jigging juga berjaya menaikkan 2 hingga 3 ekor cupak berskala 2-3 kg seekor tapi kena rajin ler…

Mail dengan cupak kembar

Jenahak dan Cupak bersaiz 5kg

TEKNIK BERHANYUT

        Selepas bersarapan mee goreng yang dimasak oleh Jeff pada hari kedua kami bergerak pula menuju ke kawasan karang untuk melakukan teknik berhanyut menggunakan Apollo 2 mata. Teknik ini berkesan untuk menjerat ikan seperti kerapu, ikan merah , ibu kerisi dan ikan karang yang lain. Setelah 2 jam perjalanan kami tiba di kawasan karang pertama. Dengan berumpankan dan hirisan sotong, kami beramai-ramai menurunkan umpan serentak ke dasar sambil mengangkat joran sekali-sekala. Tiba-tiba Ismail merasakan getuan yang kuat menandakan umpan dimakan ikan. Dengan menggunakan kekili Daiwa Capricon 4500 dan dipadankan dengan Joran Gulf Strike PE2-PE4 beserta tali sulam Power Pro 50 paun mudah saya menaikkan ibu kerisi seberat kira-kira 1 kg. Banyak juga ikan yang kami naikkan di sini. Kami meneruskan perjalanan dan tiba di Karang Luas kira-kira pukul 6 petang. Pada malam tersebut Jupri menjadi juara dengan menaikkan seekor Yu Kemejan seberat 10 kg dengan set pancing baru beliau yang juga merupakan tangkapan peribadi terberat beliau. Yu Kemejan boleh mencapai berat sehingga 100 kg seekor dan mempunyai daya juang yang tinggi. Tetapi ikan ini mempunyai kelemahan yang tersendiri, hanya tekong yang berpengalaman saja yang tahu cara untuk melemahkannya. Oleh kerana arus tiada pada malam tersebut, ikan tidak berminat dengan umpan yang kami hulurkan. Biasalah dalam keadaan begini lebih baik tidur dari menunggu umpan yang tak diragut ikan.

YU kemejan 10kg yang dikail oleh Jupri

Mail dengan ibu kerisi

UNJAM SIAM

     Pada hari ketiga, Pak Awang bercadang membawa kami ke satu lagi lubuk yang terdiri dari unjam lama yang dibuat diatas batu.  Dalam perjalanan kami singgah di satu unjam yang dijaga oleh sebuah bot yang dimiliki oleh nelayan Thailand. Kami hanya sempat memancing selama setengah jam saja sebelum dihalau oleh satu lagi bot Siam. Oleh kerana tidak mahu mencari masaalah, Pak Awang beredar dengan segera dari situ. Sebanyak dua bakul ikan seperti Merah, Kerapu, Cermin dan sebagainya kami naikkan. Kami agak terkilan juga kerana dihalau dari perairan sendiri oleh nelayan asing. Saya rasa kerajaan perlu mengambil tindakan keatas para nelayan negara kita yang mempunyai lesen tetapi menjadi Ali Baba dengan menyewakan bot mereka kepada nelayan asing seperti ini. Mereka ini mengaut hasil laut negara kita dan dibawa pulang ke negara mereka. Bagi pemancing-pemancing seperti kami yang mengeluarkan modal yang agak besar untuk kesini amat mengecewakan. Siapakah yang patut dipersalahkan kerajaan atau nelayan itu sendiri. Fikir-fikirkanlah. Selepas itu Pak Awang meneruskan perjalanan ke unjam lama yang Pak Awang katakan. Ingat tak Ikan Belitong @ Dorado yang kami dapat sebelum ini. Pak Awang cuci dengan bersih dan diperap dengan garam semalaman sebelum dijemur  selama 1 hingga 2 hari. Sedapppp “wa cakap sama lu” bila digoreng dan dimakan dengan nasi panas. Kami tiba di Unjam Lama lebih kurang pukul 4 petang. Disini kami diasak oleh ikan yang bersaiz mega. En Mat Selancar mencatatkan kenangan manis bila beliau berjaya menaikan Kakap Merah seberat hampir 8 kg, tangkapan terbesar beliau setelah lebih 6 kali menyertai trip memancing disini dan juga pembakar semangat kepada beliau setelah dua hari mabuk laut. Pada malam itu kami banyak menaikkan ikan seperti Jenahak, Cupak, Ikan Merah, Kakap Merah dan lain-lain ikan gred A yang beratnya antara 2 hingga 8 kg.

Cik mMat Dengan Kakap Merah

Ikan Masin Belitung yang dibuat oleh Pak Awang sendiri

PELANTAR MINYAK DULANG

    Pada pagi keempat dalam perjalanan ke Pelantar Minyak Dulang, kami singgah di satu unjam untuk mencari umpan segar. Awak-awak melabuhkan Apollo tetapi tiada ikan yang dinaikkan. Pak Awang mengarahkan kami berpindah ke unjam lain. Disinilah Jupri menjadi hero bila  Apollo 2 matanya yang berumpankan hirisan ikan selayang mengena 2 ekor kerapu yang beratnya 800 gm ke 1 kg setiap ekor. Pak Awang segera melabuhkan sauh dan kami bergasak dengan ikan Kerapu dan Ikan Merah. Saya, Rizal dan Nazri yang berada disebelah kanan bot, Zamri, Jupri dan Awie serta Pak Mat Sri Medan dan Pak Mat Selancar yang berada di sebelah kiri bot bergilir-gilir menaikkan 2 ekor ikan dalam satu masa. Dalam masa 1 jam sahaja kami berjaya menaikkan 2 bakul ikan. Selepas itu keadaan menjadi sunyi, agaknya dah habis kami naikkan kot.

Pelantar Minyak Dulang Pandangan di waktu Malam

Pelantar Minyak Dulang

     Menurut Pak Awang Pelantar Minyak Dulang terdiri daripada 5 hingga 6 pelantar minyak yang berdekatan antara satu sama lain dan ditengah-tengahnya ialah Puteri Dulang. Malaysia mempunyai banyak pelantar minyak antaranya Tapis, Bekok, Pulai, Tiong, Kepong dan Tinggi. Minyak mentah yang dihasilkan amat bermutu tinggi antaranya dikenali sebagai “Tapis Blend”. Bot kami menuju ke pelantar pertama iaitu Dulang A. Bot kami mengelilingi pelantar untuk mencari spot yang baik untuk melabuhkan sauh. Dalam pada itu masing-masing sibuk mengambil gambar untuk kenang-kenangan. Biasalah bila member tanya boleh tunjuk gambar, betul tak? Sebaik bot dilabuhkan, kami melihat pekerja pelantar sedang membaling makanan kearah sekumpulan Ikan Pisang yang bermain di tiang-tiang pelantar. Apa lagi kami pun sibuklah membaling dan menghanyutkan umpan, tapi ikan tak nak makan. Saya juga mencuba dengan mengepal roti Gardenia (dah macam memancing dalam kolam pulak) itupun ikan tak nak makan jugak, “hampeh” betul. Pada pukul 5 petang kami bergerak pula Dulang B. Disini kami cuba dengan teknik pancingan dasar tapi tiada hasil. Dengan gabungan kekili Daiwa Capricon 4500 dan joran Gulf Strike ,saya mencuba dengan teknik Popping. Ikan hanya mengejar popper yang dibaling hingga ketepi bot pada balingan pertama tetapi semasa balingan kedua ikan menyambar popper dan terus membenam kedasar. Disinilah kita perlu mengawal ikan supaya tidak lari ke tiang pelantar. Setelah bertarung hampir 15 minit saya berjaya menaikan seekor Cupak seberat hampir 6 kg, sakit pinggang dibuatnya.

Zam Bergayoo  lah dengan GT

Mail eksen bersama Cupak

     Jam 3 pagi pada hari tersebut, kami bergerak pulang menuju ke darat. Perjalanan mengambil masa kira-kira 10 ke 13 jam dengan kelajuan bot 7 ke 8 knot. Dalam perjalanan pulang kami turut singgah di beberapa unjam untuk menambah stok ikan.

Di Jeti Seberang Takir

Awie Tengah susun Ikan

       Kami tiba di jeti jam 5 petang. Setelah memunggah ikan kedalam tong, kami kerumah Pak Awang untuk mandi, sembahyang dan minum sebelum bertolak pulang ke Segamat. Kami tiba di Segamat jam 6 pagi hari berikutnya. Ikan dibahagi sama rata antara kami berlapan. Banyak pengalaman yang pahit, yang manis, suka dan duka kami lalui bersama. Walau bagaimanapun pengalaman ini telah diabadikan di dalam Cd “XPDC GA’NU 4-10 APRIL 2008” yang telah saya terbitkan. Insyallah tahun depan kalau umur panjang dan ada rezeki kami akan datang lagi. Kepada member-member yang ingin menduga perairan Terengganu, bersedialah dari sekarang.

Kami Dengan Hasil Tangkapan

Kepada yang berminat dan ingin mencuba bolehlah menghubungi Zamri @ 019-7308014 e-mail zamngail@yahoo.com.my atau Ismail @ 013-7444889 e-mail jbn345_u2@yahoo.com

 JUMPA LAGI

       Kenangan manis bagi Zamri yang rajin jigging membuahkan hasil apabila beliau berjaya menaikkan seekor GT (Gaint Trevally) yang seberat 5 kg. Ikan ini mempunyai daya juang yang tinggi. Ikan idaman setiap pemancing laut dalam. Tahniah diucapkan. Bagi Awie pula nasib tidak menyebelahi beliau apabila jig beliau patah dibaham ikan misteri sementara tali Kevlar 100 paun yang mengikat mata pula putus. Pada malam tersebut Ismail berjaya melakukan “Hatrik” dengan menaikkan 3 ekor cupak, dua darinya dengan teknik popping dan satu dengan teknik pancingan dasar, sementara itu saya berjaya menaikkan 1 ekor GT dan 1 ekor cupak dengan teknik jigging.

 Klik sini untuk berita selanjutnya!TRIP TUKUN DARAT PONTIAN-ABANG CURRENT PADA 14 FEB 2009

Trip kali ini hanya memakan masa 15 minit untuk sampai ke lokasi dari jeti. saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca mengenai trip kali ini iatu pada 14 February 2009, Bersamaan 18 Safar 1430 Hijrah.

Trip di sertai Oleh : Trip kali ini disertai oleh 6 org ahli. Ahli terdiri dpd Wak Aziz (ketua ekpedisi) , Rahmat , Engku , Assit , Z’dane.

Objektif kami ialah : untuk memecahkan rekod trip Wak Aziz yg berjaya menaikkan Tebal pipi berskala < 1 kg sebanyak 52 ekor. Menurut Tekong Pak Yem spesis Tebal Pipi di Tukun Darat saiznya tidak ada yang > dari 1 kg, tetapi oleh kerana kuantiti nya yang banyak membuatkan kami terdorong memburu spesis Gred A ini. Ikan disini hanya boleh dikail diwaktu selepas senja hingga waktu matahari terbit, selepas itu tak taulah kemana ianya pergi, itu yang ganjilnya memancing disini.

     Kami bertolak dpd Pasir Gudang jam 3.00 petang, setelah membeli umpan ruat & udang hidup di Kong Kong . Perjalanan ke Pontian mengambil masa lebih kurang 1 hingga 1 jam setengah bergantung kpd keaadaan lalulintas. Tiba di Pontian Kecil kami singgah utk membeli sedikit bekalan makanan. Wak Aziz dgn menu utama Nasi Beriani Kambing dan yg lain hanya memesan nasi goreng kampung.

 

Ketika baru belepas dari jeti Pontian Besar

     Kami menaiki bot pd jam 5.45 ptg dan tiba di Tukun Darat jam 6.00 ptg. Apabila Tekong Pak Yem memberi isyarat utk melabuhkan sauh setelah mengenali lokasi ( Tukun Darat ) melalui Sonar & GPS nye, saya dgn tidak membuang masa mencampak kan sauh ke air. Wak Aziz & Rahmat duduk di bahagian belakang & selebihnya di bahagian hadapan. Umpan ruat Aliff ( ahli baru ) yg pertama di ragut sang tebal pipi kira-kira jam 6.45 ptg menggamatkan suasana

 

 Setelah Aliff memperolehi tebal pipi , rakan yang lain juga mendapat sepsis yang di buru ini tapi semuanya bersaiz < 1 kg. Gelama torak dan papan juga tidak melepaskan peluang meragut umpan yg kami hulurkan. Getuan ikan tidak henti-henti sehingga air surut habis pd jam 8 malam. Apabila ikan tidak sudi menjamah umpan masing-masing menjamu selera dgn bekalan yg di beli di kedai mamak petang tadi. Apabila air mulai bergerak pasang kami menyambung kembali aktiviti memancing tetapi gelama yg banyak menjamah umpan. Lebih kurang jam 10 malam Aliff meperolehi seekor tuka dan seterusnye joran yang 1 lagi melengkung dan dia cuba menaikkan ikan tapi tidak berjaya , Assit yg berada berdekatan membantu dan apabila ikan timbul di permukaan air rupanye seekor pari karang bersaiz 1.5 kg tersangkut pada ekornye. Kejayaan Aliff membuat kan kami ketawa dan tiba-tiba Joran Assit disebelah saya melengkung dan bunyi mesin Shimano Stradic 2500 & tali sulam power pro 20lb berdesit mengeluarkan tali , dan saya sempat memegang dan apabila di karau seekor tebal berskala 0.5 kg menjelmakan diri.

Alip (Ahli baru) bergayo ngan Tebal Pipi 0.6 kg

   

 Jam menunjukan pukul 12 tgh malam , sedang kami sibuk memancing tiba tiba Joran Engku “terbang” di tarik ikan , Engku yg sedang mengambil umpan ruat , panik dan tidak boleh berbuat apa-apa. Joran Daiwa Megaforce 8-17lb , mesin Shimano Stradic 2500 & tali sulam Power pro 20lb lenyap di bawa ikan. Kami semua terkejut dan selepas itu Rahmat yg berada di belakang menjerit kerana joran beliau pula melengkung. Apabila di karau rupanya Joran Engku yang terbang td tersangkut pada set pancing Rahmat , tetapi ikan masih terlekat pada matakail Engku. Apabila di naikkan rupanya ikan duri ( Otek )bersaiz 1 kg yg meragut Joran Engku. Riak muka Engku menunjukkan kelegaan apabila set pancing kesayangannya berjaya di selamatkan. Apabila jam menunjukkan pkl 1 pagi , ikan berkurangan dan masing-masing memulakan aktiviti “BONTANG”. Air mulai surut jam 3 pagi dan kami menyambung aktiviti mancing . Gelama torak mengambil alih spesis yang di naikkan dengan berumpankan udang kopek. Wak Aziz yg sedang BONTANG sejak dari jam 11 malam masih tidak sedarkan diri walaupun kami sibuk melayan gelama papan & torak yg saiznya sekitar 300 gm seekor. Wak Aziz sedar dari BONTANG pd jam 6.30 pagi dan terus memancing. Selang 5 minit beliau memancing tiba-tiba Joran Exzoga Mystery 8.5 ft PE 1.5 & mesin Shimano NAVY 4000 beserta tali suffix mono 20lb , perambut Berkley 20lb& mata Daichi 17 melengkung sehingga mencecah air . Melihat pada lengkungan joran Exoganya Tekong Pak Yem menyuruh saya mendapatkan penyauk. Wak Aziz mengambil masa 7 minit untuk menaikkan ikan ke permukaan air kerana ikan tersebut tidak mahu mengalah dan cuba mengheret tali ke arah bawah bot. Saya membantu untuk menyauk ikan tersebut tetapi saiz ikan tersebut hampir sama besar dengan diameter sauk, tetapi berkat kesabaran akhirnya berjaya juga di naikkan ke atas bot. Setelah di timbang tebal pipi bersaiz 4.5 kg membuat kan Wak Aziz tersengih bak “kerang busuk”. Tekong Pak yem berasa terkejut dan menyatakan ini adalah rekod dan kali pertama pemancing yg berjaya menaikkan spesis Tebal pipi yang beratnya lebih dari 1 kg. Wak Aziz sekali lagi mencatatkan nama di atas bot Tekong Pak Yem .

Wak Aziz tersenyum bak kerang busuk dengan hasil tangkapan Tebal Pipi 4.5 kg

Assit selaku jurukamera bergaya ngan ikan tebal

   

  Hasil Tangkapan di Tukun Darat Pontian

Kami memancing sehingga jam menunjukkan tepat 8 pagi dan kami bekemas dan bersiap untuk pulang. Kami membahagikan ikan yang di perolehi sama rata dan pulang dengan kepuasan yang tidak terhingga. Kami tiba di Pasir Gudang lebih kurang jam 12 tengahari. Ekpedisi seterusnya di jangkakan pada 28 Mac 2009.

 

 
 
Copyright 2007. All Rights Reserved. Powered By Chal Website Design