|
KAEDAH
DAN CARA-CARA MEMANCING IKAN TENGGIRI DI PERAIRAN MALAYSIA
ARTIKEL
LENGKAP
Penggunaan set medium heavy dengan mainline 10lb ke 25lb yang tidak
berwarna sepanjang melebihi 200 mtr. perambut pula dari jenis
flourocarbon 20lb panjang 2 mtr dengan coated steelwire 20lb panjang
6" menggunakan hook 2/0 dan 3/0.
Ikan tenggiri jenis batang
Arus mati.
Belon atau pelampung yang sesuai adalah digalakkan untuk mengelakkan
umpan berbelit dengan pancing lain. Jarak umpan dengan belon paling
kurang 4 mtr. Lagi panjang lagi bagus. Lepaskan umpan dalam jarak
melebihi 30 mtr dari bot. Ikan hidup seperti selar dan kembong
hendaklah dicangkut dalam keadaan kepala mengarah ke hadapan.
Arus perlahan.
Penggunaan teknik floating tanpa ladung atau belon. tetapi umpan
ikan hidup hendaklah dicangkut dalam keadaan kepala menghadap bot.
kalau menggunakan multiflier reel, bolehlah ikat perambut steelwire
direct kepada mainline dengan ikatan albright dengan safety knot
dihujung.
Arus deras.
Penggunaan teknik mid water dengan batu ladung bersaiz 2 atau 3.
batu ladung dimasukkan kedalam mainline. setelah lepaskan ikan hidup
ladung hendaklah dipegang. hulurkan tali sepanjang 10 mtr baru
ikatkan getah gelung pada mainline untuk jadikan stopper ladung.
lepaskan sepanjang 30 mtr dari bot.
Untuk pancingan malam pula perambut 50lb digunakan manakala
steelwire 50lb pula hendaklah sepanjang 1 kaki. sekiranya bulan
gelap cara pancingannya pula berbeza kerana tenggiri hanya akan
makan dibawah bayangan cahaya lampu bot. bottom fishing tetapi
dinaikkan sebanyak 8 mte. teknik seperti siang boleh digunakan
sekiranya bulan terang.
Hook Up:
hook up hendaklah dibuat dengan kuat beberapa kali supaya mata yang
disangkut pada umpan hidup boleh tanggal dan menyangkut pula pada
rahang ikan tenggiri. sekiranya ini tidak diambil berat kita akan
kehilangan tenggiri tersebut kerana rabut.
inilah serba sedikit yang boleh kawan berikan sebagai info pada
kenkawan semua.
kalau dilayan dengan slow dan smooth species ini mudah menyerah tapi
kalau ditarik dan dikarau ganas ia akan lebih ganas dan lambat
menyerah. peratus putus sangat besar. penggunaan light set dengan
mainline 10lb adalah sangat berkesan untuk menawan species ini
tetapi ia akan mengganggu kekawan lain kerana memakan masa yang
lama. kalau medium heavy makan masa 5 minit, light set pula 7 minit.
tentang keadah pancingan tenggiri, kita perlu tahu yang paling
mustahak ialah spot.
spot 1: Spot karang yang mana tenggiri nya telalu banyak hinggakan
kalau dihulur apa saja yang bergerak akan dimakan seperti dilatuna
sarawak.
spot 2: merupakan karang yang sempit yang memang banyak tenggiri
menghuni disini dimana ramai nelayan pancing menjadi penunggu tetap
disini seperti karang ngah. mereka hanya memancing tenggiri sahaja
dengan mendapat hasil yang mencapai 40 hingga 50 ekor sehari.
spot 3: spot yang ada tenggiri tetapi tidak menjadi lubuk nelayan
kerana kalau ditunggu pun hasil nya tak seberapa. seperti didalam
unjam laut.
spot 4: spot yang karang nya sangat luas. dimana kita perlu
bergantung pada nasib untuk dapatkan species tenggiri.
spot 5: spot yang tiada rekod hasilkan tenggiri tetapi saja2 mencuba
tetapi kadang kala dapat juga.
keadah untuk spot 1:
semua keadaah sesuai digunakan tetapi sekiranya untuk dapat hasil
yang banyak pakailah perambut steelwire kasar dengan teknik bottom.
bila kena saja rentaplah terus naikan keatas bot. sekiranya nak kan
keseronokan pancing kawan syorkan pakailah light set dengan mainline
10lb, perambut steel wire 20lb dan hook 2/0 cutting point.
keadah spot 2:
memandangkan puluhan nelayan menunggu tempat ini sehari hari jadi
tenggiri disini sudah kenal benda asing yang dihulurkan pada mereka.
line berwarna atau braided, steewire hitam, kekili besar, umpan mati
serta benda asing seperti getah, manik danperambut kasar merupakan
benda2 yang perlu dielakkan. sehinggakan nelayan yang kita tahu
terkenal dengan koyan dengan tangsi hingga ratus lb hanya
menggunakan perambut 15lb sahaja disini. melainkan dikala permulaan
species ini masuk ke sini setelah berbulan laut bergelora. ketika
itu keadahnya sama dengan spot 1.
keadah spot 3:
dispot ini bolehlah kita gunakan teknik spinner atau sesudu juga
casting rapalla. kalau nak gunakan keadaah floating dan mid water
juga boleh. tenggiri disini tidak peka pada perambut atau benda2
asing kerana sesekali sahaja mereka diumpan dengan benda asing.
keadah spot 4:
disini trolling amat berkesan. keadah lain boleh digunakan tetapi
peratusan hasilnya sangat kecil dibandingkan dengan keadaah
trolling.
keadah spot 5:
disini kita hanya perlu tajul satu set untuk tenggiri denga keadah
floating disamping pancing bottom untuk species lain. kita tidak
perlu berharap pada tenggiri lebihkan tumpuan pada species lain.
sekiranya ada rezeki dapatlah seekor dua.
Perhatian:
species tenggiri tidak memilih arus. kalau arus laju tapi faktor
lain baik ia akan makan dan sebaliknya walaupun arus baik tetapi
faktor lain tidak baik alamat melangutlah joran kita.
Faktor2 tenggiri aktif.
1.cuaca baik setelah habis monsoon. tidak kira arus.(karang)
2.cuaca baik air jernih(biru kehitaman) tidak kira arus.(karang)
3.cuaca tidak baik tapi arus baik.(unjam)

teknik rentapan untuk pancingan tenggiri pula ada beberapa teknik
yang berkesan sesuai dengan set pancing dan keadah pancing yang kita
gunakan.
1. penggunaan light set medium fast action rod mainline 10 ke 15lb
keadah hanyut dengan umpan hidup. sebelum pancingan dimulakan
pastikan dulu tension drag pada tekanan 80% dari kekuatan mainline.
semasa umpan diturunkan hendaklah perhatikan kelajuan pergerakan
renangan umpan sekiranya kelajuan pergerakan maintain teruskan
dengan tension dalam keadaan off(free) sekiranya ada rasa macam
kelajuan renangan umpan bertambah dengan drastik, jangan lengah
terus saja sentap dengan kuat beberapa kali kerana umpan anda sudah
dimakan. semasa sentapan dibuat pastikan tension drag masih dalam
keadaan free. on kan drag bila saja mangsa membuat larian laju.
biarkan tension dalam keadaan 80% kekuatan line supaya mangsa cepat
pancit.
sentapan untuk light set perlu sekuat hati kerana rod yang lembut.
daging umpan yang fresh masih liat jadi perlukan kekuatan untuk
koyakkan daging umpan supaya mata kena pada mangsa.
bila ikan tidak makan semasa umpan turun, on kan drag dan parkinglah
dekat holder. sekiranya umpan dientap, kekuatan drag tadi akan
buatkan hook kena kat mulut mangsa tetapi sekiranya kita lambat buat
hook up, umpan akan diludah dengan mudah sahaja kerana hook hanya
melukai mangsa tapi belum melepasi duri pandan. sentapan hendaklah
dilakukan dalam keadaan rod masih melengkung kerana dimasa itu
memori pada rod dan line sudah sampai tahap maksima. dengan cara ini
hook akan menembusi daging pada mulut mangsa.
2. Penggunaan medium heavy set, mainline 25lb ke 30lb pula sangat
senang tetapi perlukan kepantasan kerana memori kelengkungan rod
hanya sedikit dibandingkan dengan light rod. setkan tension drag
sama dengan cara tadi dengan ketegangan 80% kekuatan mainline. bila
saja ada rentapan dari mangsa rod hendaklah disentap dengan kuat dan
cepat. jangan pula bila rod ditarik ikan, tension nak ketatkan, tali
ikatan nak dibuka terlebih dahulu barulah nak buat hook up .
alamatnya putih mata. hook up terlebih dahulu sebelum buat lain
perkara barulah peratus untuk dapatkan mangsa lebih besar.
KAEDAH
DAN CARA-CARA MENCANDAT SOTONG DI PERAIRAN MALAYSIA
ARTIKEL
LENGKAP
Mencandat sotong (Squid Jigging) adalah satu
kaedah tradisi yang tidak mengunakan cara moden. Mencandat sotong
juga ada keseronakan yang tersendiri. Di negeri terengganu ada
berbagai-bagai kaedah yang biasa dilakukan oleh nelayan tempatan
untuk menangkap sotong. Salah satunya dan yang paling menarik ialah
mencandat, iaitu dengan mengunakan peralatan khas yang dinamakan
candat. Didalam pasaran sekarang ada berbagai-bagai jenis candat dan
jenama yang dibuat mengingkut keadaan semasa. Ada berberapa nama
candat yang biasa digunakan diantaranya ialah Candat Twist, Candat
Udang, Candat Umpan, Candat Buntai dan beberapa jenis lagi. Alat
candat adalah kail yang mempunyai sehingga sepuluh mata atau lebih
yang dilekatkan pada timah dan dibaluti dengan kain yang berwarna
warni, tetapi kini mata kail dihiasi umpan tiruan anak ikan atau
udang plastik yang berkilat, berbanding alat candat tradisional yang
dikenali sebagai candat twist. Kesesuaian candat dengan sotong yang
hendak ditangkap juga perlu diambil kira. Disini kita tekankan
dengan penangkapan /mencandat sotong torok, cumit-cumit, ketupat dan
sotong jarum sahaja kerana cara mencandat sotong mengabang, sotong
katak dan kurita ada sedikit perbezaannya.
MUSIM ATAU MASA YANG SESUAI
Setiap akhir Mac hingga Julai, ialah musim yang paling sesuai untuk
menangkap/mencandat sotong kerana angin kencang musim tengkujuh
timur laut di Laut China Selatan mulai reda, maka musim sotong
mengawan dan bertelur akan bermula. Ini bermakna sotong-sotong yang
jauh dari laut dalam mula berkunjung ke tempat-tempat tertentu untuk
bertelur di sekitar perairan Terengganu terutama berhampiran Pulau
Kapas, Pulau Bidong, Pulau Redang dan beberapa tempat lain. Apabila
musim mencandat tiba, di sekitar perairan Kemaman, Paka, Dungun,
Merchang, Marang, Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Penarik bagaikan
berpesta dengan kerlipan lampu kalimantang yang dipasang saban malam.
Kehadiran lampu kalimantang yang berkerlipan itu bertujuan menarik
perhatian sotong yang sedang mengawan di kawasan berkenaan untuk
berkumpul dan bermain di sekitar kawasan yang diterangi cahaya lampu
berkenaan. Kebiasaanya waktu mencandat sotong bermula senja dan
berhenti apabila fajar menyingsing.
Rezeki akan bertambah kiranya seseorang yang menjumpai kawasan
sotong bertelur, iaitu tempat berjuta-juta sotong berkumpul dan
bertelur pada satu tempat. Tempat ini juga dikenali sebagai “Kandang
Sotong”. Kandang sotong yang dihuni oleh berjuta-juta sotong ini
tidak terdapat seekor ikan pun kerana tahap permakanan sotong ini
terlalu egresif sehinggakan mereka memakan diantaranya (sama sendiri).
Jika terdapat ikan pun ialah ikan tenggiri, tasik atau jerung yang
berada diluar kawasan sekitarnya untuk memakan sotong itu. Di tempat
begini candat twist yang paling efektif sekali, dengan kaedah appolo,
candat diikat dua atau tiga pada mainline. Kebiasaanya candat yang
diturunkan belum sampai ke dasar sudah ada sotong melekat pada
candat.
Mencandat sotong biasanya jarang dilakukan apabila bulan mengambang
penuh kerana ketika itu sotong bergerak bebas, ada juga yang
mencandat pada waktu begini kerana ianya tidak memberi target yang
tertentu seperti di tempat kandang sotong atau di sekitarnya.
Adakalanya juga mendapat hasil yang lumayan. Bagaimanapun, sotong
yang ditangkap pada bulan mengambang lebih besar saiznya berbanding
yang ditangkap pada bulan gelap. Sebaliknya, saiz badan yang gemuk
itu akan berubah menjadi panjang selepas bulan penuh. Dimasa bulan
gelap lebih sesuai kerana lampu yang di pasang akan menarik
perhatian sotong untuk mendekati cahaya.
Seorang pencandat yang mahir akan memasang tiga atau empat candat
pada satu tali. Setiap seorang pencandat mampu memperolehi antara
200 hingga 300 kilo sotong semalaman jika mereka mencandat di
kandang sotong.
JENIS CANDAT DAN CARA PENGUNAANNYA.
1.Candat Twist- candat twist biasanya dibuat daripada timah sebagai
pemberat, ia juga dilekatkan matakail yang bersisir dibawahnya.
Biasanya ia dilengkap dengan lapan atau lebih matakail yang
berfungsi sebagai penyangkut sotong. Badannya dibaluti dengan kain
yang biasanya berwarna putih/merah, putih/hijau dan putih/biru. Cara
menggunakannya ialah memasukan terus dari tangkal candat ke cili
yang diikat dari mainline. Tidak perlu mengunakan perambut. Apabila
candat diturunkan, lakukan aksi menarik dan menghulur ke dalam air
yang disuluh lampu kalimantang. Sotong akan tertarik dengan
pergerakan candat yang disangka makanan dan menyambarnya. Ketika itu,
terus menyentap tali dan sotong akan terlekat pada mata kail
berkenaan. Candat twist sesuai untuk sotong torok, ketupat dan
sotong jarum. Candat twist juga sesuai digunakan untuk sotong
mengabang dan sotong katak apabila berada di kawasan unjam atau
tukun sahaja.
2. Candat umpan – berbentuk panjang yang dibuat daripada besi
sebesar lidi dan bersisir dengan matakail dibawahnya. Ia juga
dilengkapi dengan lapan atau lebih matakail yang biasa dibuat
sendiri. Ada juga candat ini yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan
yang mempunyai dua sisir matakail tanpa mempunyai teracat. Cara
mengunakannya ialah mencucuk ikan sebagai umpan. Ikan akan dicucuk
dari ekor sehingga ke dalam mulut ikan itu dan disangkut mengunakan
cili dari atas kepala memasuki lubang candat dan seterusnya
disangkut sekali lagi memasuki bawah kepala ikan sebelum menuntup
cili itu. Ada satu lagi kaedah dengan menggunakan dawai yang diikat
daripada perambut dan dicucuk sama dengan kaedah menggunakan cili
dan dibelit dawai tersebut sebagai pengikatnya. Seterusnya candat
tadi boleh digunakan dengan batu hidup atau ranggung (samaada yang
dibuat daripada tanduk atau tangsi yang bersaiz besar) yang
memerlukan perambut antara tiga hingga lima meter panjang. Masa
mengunakan candat umpan, kita digalakkan untuk melabuhkan dua atau
tiga candat ini dengan kedalaman air, bermakna satu didasar, kedua
ditengah-tengah air dan satu lagi berada di permuakaan air. Untuk
permukaan air, pemberat tidak perlu digunakan dan seelok-eloknya
menggunakan pelampung. Ikan tambang, selayang, dan ikan kacang
sangat sesuai untuk dijadikan sebagai umpan. Saiz ikan hendaklah
tidak melebihi panjang candat tersebut.
3.Candat Udang- Rasanya baru diperkenalkan atau diguna secara umun,
berkemungkinan dalam tujuh tahun lepas(belum pasti). Candat ini
sangat sesuai digunakan untuk mencandat sotong mengabang. Dengan
bentuk yang solid dan dapat mengimbangi badan di dalam air memberi
kelebihan candat ini menarik perhatian sotong. Cara mengguna hampir
sama dengan candat umpan yang memerlukan ranggung untuk dihulurkan
pada dasar. Kebiasaannya dua atau tiga kaki dari dasar laut.
SOALAN LAZIM
1. Adakah arus memainkan peranan penting dalam menangkap/mencandat
sotong?
Ya. Arus juga memainkan peranan yang penting semasa mencandat sotong.
Disebelah Terengganu masa perubahan arus daripada barat ke timur
adalah masa yang terbaik sekali. Arus mula ke timur. Pendapat ini
sama dengan pendapat beberapa nelayan2 yang terer dan tersohor dalam
aktiviti mencandat sotong. Permulaan perubahan arus yang lembut ini
mungkin mengaktifkan kehidupan sotong itu. (bukan di kandang sotong)
2. Adakah sotong akan bertelur di tempat yang sama?
Tiada fakta yang lengkap berkenaan yang ini. tapi pernah diketemui
ditahun yang berlainan sotong masih bertelur di tempat yang sama.
tapi kebanyakkan tempat bertelur (kandang sotong ditemui di tempat
yang berlainan).
3. Bagaimana kalau kita mencandat disiang hari.. adakah boleh
dilakukan?
Mencandat sotong di siang hari boleh dilakukan, tapi hasilnya kurang
memuaskan. Mencandat disiang hari lebih sesuai menggunakan candat
umpan.(bukan di kandang sotong)
Jika dikandang sotong semua jenis candat boleh digunakan. hasil juga
amat membanggakan.Pada Isnin 23/5/2005 satu kandang sotong telah
ditemui di depan muara sungai terengganu. Laut berhampiran kampung
Tanjung, ramai nelayan mencandat di siang hari.. rata2 mendapat 100
kilo seorang. Tapi peluang untuk nelayan kecil tidak lama kerana
disapu oleh bot pukat tunda. Kalau pemancing macam kita nak dapat
peluang yang sekejap ini lagi laa susah. Baru projek di rancang
kandang sotong sudah hancur..
4. Apakah peralatan yang paling sesuai untuk mencadat sotong.
Selain daripada candat, kita sebagai pemancing yang lebih ingin
merasa keseronakan elok menggunakan set mancing yang joran lembut
sikit kerana tarikan sotong dapat dilihat semasa ia memakan
umpan(untuk cadat umpan). Untuk candat twist rasanya lebih baik
mengunakan koyan saja dengan kekuatan tali 40lb.
5. Bagaimana untuk mengenali tempat atau kandang sotong?
Kandang sotong bermakna satu tempat dimana sekumpulan besar sotong
bertelur, tempat ini boleh dikenali dengan adanya berjuta2 sotong
dikawasan itu. kita boleh melihat di bawah air dengan warna yang
sebam dan taburan sotong yang amat ramai. Anggaran taburan sotong di
kandang berkeluasan 500-600 meter. kita boleh labuhkan bot dan
biasanya di candat twist ada mengena atau terlekat telur2
sotong.Biasanya kandang dijumpai secara kebetulan saja. Pengalaman
kawe satu kali dengan arwah ayah mula2 jumpa kandang sotong di waktu
petang. setiap candat dihulurkan terus mengena sotong, kami
melabuhkan bot dan memasang lampu lepas magrib.. maka nampak laa
berjuta sotong berada ditengah2 air dan sedikit di permukaan. apa
lagi.. rezeki kami. malam tu sampai ke pagi kami dapat 270 kilo
sotong. (seingat kawe).Satu candat dapat menggena 2 atau 3 ekor
sotong sekaligus. Itu pun kami rasa bot yang dilabuhkan itu tidak
tepat diatas telor sebenar.
PETUA-PETUA
MELAYU BERKAITAN AKTIVITI MEMANCING DAN IKAN
ARTIKEL
LENGKAP
Mengekalkan Kesegaran Ikan
Untuk mengelakkan ikan daripada busuk jika
kita tidak mempunyai kelengkapan, Ikan anda itu perlu disiang dan
dibuang segala isi perut, tahi, dan sisiknya. Tapi ingat ikan
berkenaan tidak boleh dibasuh dengan air. Selepas disiang, biarkan
ikan berkenaan berdarah lalu dibalut dengan kertas suratkabar seekor
demi seekor.(usah dicampur 2 – 3 ekor sebungkus) Selepas itu
letakkan bungkusan itu pada tempat yang teduh. Ikan berkenaan akan
tetap segar walaupun dibungkus selama 24 jam.
Daun Sireh/Tembakau Rokok
Kita sering mendengar pemancing akan menghadapi masalah menaikan
pari bila ia melekap dipasir. Caranya mudah gunakan daun sireh/
tembakau rokok (dibasahkan) lalu digosok pada tali pancing hingga
berbunyi. Pari akan rasa ngilu dan serta merta melepaskan lekapannya
pada pasir.
Telur Rebus & Pulut Kuning
Jangan membawa sebarang makanan berdarah spt.
Daging atau ayam semasa memancing. Begitu juga jangan sesekali
membawa bekalan telur rebus dan pulut kuning. ’Laut tempatnya
keras,kedua-dua makanan itu ada kaitan dengan amalan membuang Ancak’.
Kunyit & Tepung
Jika memancing disungai dipercayai ada buaya,
jangan gunakan umpan tepung yang digaul dengan kunyit. Buaya tidak
suka bau kunyit dan ia boleh ‘mengamuk’ dan ini boleh mendatangkan
bahaya kepada pemancing.
Tersesat Didalam Hutan
Jika kita tersesat didalam hutan semasa
memancing dan tidak menjumpai jalan pulang, cubalah petua ini.
Telanjang dan buang air kecil. Selepas itu, ambil tanah diantara
tapak kaki anda dengan tempat membuang air kecil tadi dan bawalah
sepanjang jalan. Insya-allah jalan pulang akan ditemui.
Berkat Dapat Izin Sebelum Memancing
Pastikan setiap kali keluar rumah untuk
memancing mestilah memberitahu isteri atau keluarga. Pastikan semua
tanggungjawab dan urusan telah dibereskan sebelum pergi. Jangan
meninggalkan masalah dirumah, termasuk dengan anak-anak. Bila ini
dibereskan hati pun tenang semasa memancing dan mungkin berkat doa
mereka anda mendapat hasil yang baik…Insya-allah.
Menjaga Umpan Perumpun
Perumpun yang dibeli untuk memancing biasanya
mudah mati dan busuk jika anda tidak cepat mengasingkannya. Petua
menjaga kesegarannya ialah jika memotong perumpun yang panjang,
pastikan ia mula dipotong dari bahagian ekor. Jika ia dipotong dari
bahagian kepala, perumpun mudah mati dan busuk. Penggunaan surat
kabar atau kertas yang kering juga dapat membantu kesegarannya
dengan menukar kertas takungan umpan ini setiap 2 jam sekali.
Elakkan dari terkena air hujan atau terdedah dari terik panas
matahari. Sebaiknya letakkan kain atau kertas yang lembab bagi
menutup perumpun.
Mencari Perumpun Pasir /Laut
Caranya mudah, beli sebiji nenas yang masak
ranum, dan anda cuma perlu memerah airnya dipasir yang anda yakin
ada perumpun. Mungkin kerana masam air nenas ini perumpun dengan
sendiri akan muncul, disini anda hanya perlu menariknya keluar.
Kasut
Apabila memancing didalam sampan atau bot
jangan pakai selipar atau kasut.Macamlah kita nak masuk rumah orang,
kenalah buka kasut atau selipar.Ia semacam tanda hormat dan
adab.Nanti ada yang kata bahaya takut tercucuk duri didalam sampan
tapi ini sepatut- nya tidak berlaku jika kita mengutamakan
kebersihan dan keselesaan ketika memancing. Ada juga beranggapan
benda-benda dibawah (dalam air) tidak suka kepala mereka dipijak
dengan selipar atau kasut yang kotor. Kata mereka.
Daun Ketapang
Jika anda gemar membela ikan didalam akuarium dan didapati ikan
peliharaan anda ‘tidak sihat’ seperti luka atau sisik reput, cuba
masukkan sehelai daun ketapang, sesungguhnya ia adalah sumber
perubatan kepada ikan.
Langkah Batang
Pancing
Petua ini menjadi ikutan ramai pemancing hingga ke hari ini. Pantang
larang agar batang pancing tidak dilangkah adakalanya menjadi satu
medan pertengkaran sesama rakan pancing. Apa yang sering dikatakan
batang pancing akan ‘suwei’ apabila kena langkah dan hasil tangkapan
akan meleset.
Mulut
Pantang larang paling utama dalam aktiviti memancing. Mulut jangan
cakap besar, takbur, celupar dan suka menyumpah. Jangan suka menegur
sesuatu yang tidak pasti spt. bau wangi dan sebagainya. Mulut jangan
terlalu suka berjenaka dan bersenda gurau berlebihan ditakuti suka
akan membawa duka. Jangan suka buat bising.
Kaki
Petua ini terutama kepada pemancing yang menaiki bot/sampan. Elakkan
suka menjuntai kaki kedalam air semasa memancing atau berehat. Perlu
diberitahu tapak kaki kita akan kelihatan putih semasa didalam air
dan amat menarik perhatian ikan seperti jerung atau buaya untuk
menyambarnya.
Meludah Umpan
Petua ini turut menjadi amalan hingga kini. Ada yang melakukan pada
umpan yang pertama didalam aktiviti memancing dan ada yang sentiasa
meludah setiap kali menukar umpan baru. Ada yang beranggapan untuk
isyarat membuang ‘suwei’ dan ada yang kata sebagai ‘daya penarik’
ikan atau udang.
Menghilangkan Bisa Terkena Gigi Ikan
Sebaik saja terkena sengatan gigi ikan spt. Ikan Jenahak, Malong dan
sebagainya dianggota badan terutama jari, cepat-cepat cedok air laut
tempat anda memancing dengan tangan kanan dan titiskan kedalam mulut
dan telan sedikit air tersebut. Rasa bisa serta denyutan akan
berkurangan dan bolehlah sapu apa-apa ubat yang sesuai selepas itu.
FAHAMI
ISTILAH DAN FUNGSI KEKILI DAN JORAN
ARTIKEL
LENGKAP
JORAN memainkan peranan penting
dalam menentukan kejayaan trip memancing. Ada tiga jenis
joran asas yang anda perlu fikir dan peroleh sebagai
permulaan hobi anda.
Joran pertama perlu diambil kira ialah pancing pelampung. Ia
digunakan khusus melontar umpan yang ringan dengan pelampung
bagi mengesan gigitan ikan. Joran ini sesuai pada saiz
antara 12 dan 13 kaki (3.4 hingga 4 meter) dengan berat 170
hingga 200 gram.
Pada masa sama, anda mungkin memerlukan joran khas untuk
mencari spesies kap atau memancing di sungai seperti bagi
pemburuan kelah, sebarau dan spesies seumpamanya.
Untuk kes ini, cari joran 12 kaki (3.6 meter) dengan
lengkung yang diuji seberat 700 hingga 800 gram.
Lengkung yang diuji adalah untuk merujuk kekuatan joran
berkenaan. Dengan sukatan 800 gram, mungkin ini akan
menyebabkan joran melentur sehingga 90 darjah.
Kemudian,
pemilihan mesin atau kekili juga sangat penting. Kekili
jenis ‘centre-pin’ sesuai untuk memancing di sungai,
mesin multiplier untuk tugasan berat atau ikan besar
manakala mesin ‘closed-face’ untuk tali halus dan
memancing dalam angin kencang.
Banyak jenis mesin ada di pasaran. Anda bagaimanapun
dinasihatkan membeli jenama terkenal sekali gus seimbang
dengan joran.
Dalam hal pembelian mesin atau kekili, rujuk kepada rakan
yang senior atau hardcore untuk mendapatkan nasihat dan
panduan pembeliannya. Mereka juga boleh mencadangkan nama
kedai yang patut anda pergi.
Anda juga sebenarnya perlu tahu maksud ‘bearing’,
‘gear ratio’ dan ‘line capacity’ yang biasa
tertulis pada kotak mesin.
Semua istilah ini perlu diketahui bagi membolehkan anda
membeli mesin yang menepati pilihan dan keperluan.
Pada masa sama, istilah pada joran juga perlu diketahui.
Maksud ‘length’, ‘PWR’, ‘GFC Action’,
‘line test’ dan ‘lure WT’ adalah antara
istilah yang perlu difahami.
Semua istilah ini adalah panduan tepat dan kekuatan yang
diuji bagi semua jenis mesin dan joran.
SUNGAI
DI ASIA TERANCAM DENGAN PENCEMARAN
ARTIKEL
LENGKAP
GENEVA: Lima batang sungai
utama di Asia yang menanggung punca kehidupan kira-kira 870
juta penduduknya, kini diancam pelbagai masalah serius
akibat pembinaan empangan tidak terancang, kemerosotan air
bersih, sisa kumbahan serta pemanasan suhu bumi, lapor Dana
Hidupan Semula Jadi Sedunia (WWF), Selasa lalu.
Sungai
Yangtze, Salween-Nu, Indus, Ganges dan Mekong-Lancang kini
dalam perhatian rapi WWF dan diletakkan dalam senarai 10
sungai utama yang perlu diberi keutamaan selepas mendapati
ia menjadi mangsa salah urus sekian lama.
Di benua lain, Sungai Rio Grande/Rio Bravo dan La Plata
(Latin Amerika), Sungai Danube (Eropah), Sungai Nil-Tasik
Victoria (Afrika) dan Sungai Murray-Darling (Australia)
turut berdepan masalah serupa.
“Hampir setiap orang mendiami kawasan lembangan sungai dan
ini bererti setiap orang juga harus menjadi penyumbang
menangani masalah pada sungai berkenaan bagi menghalang ia
daripada menjadi malapetaka kepada alam sekitar seluruhnya,’’
kata Pengarah Progam Air Bersih WWF, Jamie Pittock.
Menurutnya, semua sungai utama berkenaan berdepan pelbagai
masalah yang saling berkaitan dengan polisi pentadbiran dan
memerlukan pendekatan realistik bagi mengatasinya dalam
tempoh terdekat.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan dibanyak negara mula sedar
kesan pemanasan suhu bumi mungkin menyebabkan kemarau, lalu
mereka merancang membina lebih banyak empangan untuk
menyimpan bekalan air bagi rakyat tanpa disedari ia
sebenarnya ‘mematikan’ lebih banyak anak sungai dan
mencetuskan masalah ekologikal berganda selepas itu.
“Banyak juga kerajaan memberi fokus untuk membina empangan
dengan tujuan menjana keperluan tenaga elektrik tetapi di
sebalik pembinaan itu, lebih banyak sungai akan mati bersama
hidupan di dalamnya,’’ kata Pittock.
Laporan WWF itu juga menyebut masalah pencemaran sebagai
penyumbang utama kerosakan sungai sambil merujuk kepada
lembangan Sungai Yangtze, China, yang sudah menjadi lokasi
industri berat dan empangan sejak berdekad lalu dan kini
dipenuhi dengan pelbagai jenis lapisan sedimen daripada
kerja tebus guna tanah untuk pembangunan di sekitarnya.
Manakala Sungai Mekong berdepan masalah kepupusan hidupan
akuatik akibat tangkapan ikan berlebihan. Sungai Salween, La
Plata dan lembangan Danube juga berdepan masalah serupa
tetapi berpunca daripada empangan.
Begitupun Pittock memuji Kerajaan China yang cepat sedar
untuk menangani masalah berkenaan.
“China sebenarnya berdepan masalah besar, tapi mereka juga
mempunyai sumber yang banyak untuk mengatasinya. Kerajaan
China sangat aktif mendapatkan pandangan pakar antarabangsa.
Mereka belum bertindak. Polisi yang mereka ada menjanjikan
potensi untuk melakukan yang terbaik selepas ini,’’ katanya.
WWF juga memberi amaran mengenai krisis lebih teruk jika
sungai dan persekitarannya dipandang remeh oleh pentadbir
utiliti awam, misalnya, sesebuah negara bakal berdepan
kekurangan sumber air minuman domestik, penularan penyakit
dan penurunan standard nutrisi penduduknya.
“Di kebanyakan negara, orang ramai tidak pernah mengambil
kisah masalah itu. Sebenarnya ia amat kritikal jika
membabitkan manusia,’’ katanya.
MISI
PeMM SELAMATKAN PEMANCING DAN IKAN
ARTIKEL
LENGKAP
TAHNIAH
diucapkan kepada Mejar (B) Ismail Feisol yang kini menjadi
Presiden Persatuan Memancing Malaysia (PeMM). Sebagai
peneraju baru kepada persatuan yang berusia 15 tahun itu,
Sang Bedal mahu menyalurkan rasa dan suara berjuta kaki
pancing di seluruh negara supaya hobi memancing ini akan ada
lebih banyak pembelaan, kemudahan serta pengiktirafan.
Sang Bedal masih teringat kata-kata Ismail jika beliau
diberi mandat menerajui PeMM iaitu mahu meletakkan hobi
memancing bukan semata-mata hobi tetapi sukan yang menjadi
industri negara. Beliau mahu lebih banyak kemudahan
infrastruktur dan lapangan (lubuk) untuk dua juta pemancing
di negara ini disediakan. Ismail juga mahu wakil PeMM
menduduki panel yang dibentuk untuk merancang sesuatu dasar
dan menggubal peraturan atau undang-undang berkaitan.
Sebagai pemancing pro yang mendapat kepercayaan beberapa
penaja asing mahupun tempatan, beliau juga tahu bagaimana
cara untuk meningkatkan mentaliti, sikap dan kemahiran
pemancing tempatan.
Sebagai bekas pegawai tentera, Ismail juga tahu bagaimana
merancang strategi dan tahu yang mana strategik untuk
memastikan sumber perikanan negara terus berkekalan serta
mampu dikembangkan. Semoga angan-angan beliau untuk melihat
ada perairan yang diwartakan khas untuk sukan memancing,
bakal menjadi nyata. Sang Bedal juga masih ingat
kata-katanya yang mahu Malaysia menjadi antara lokasi sirkit
sukan memancing antarabangsa kerana kita memiliki ikan yang
diperlukan oleh pemancing pro.
Sebagai seorang yang memiliki kelulusan dalam perikanan
marin, Ismail juga perlu menggunakan kedudukan sekarang
untuk meyakinkan kerajaan betapa sumber perikanan negara
tidak kira di sungai, muara dan pinggir pantai mahupun laut
dalam tidak mampu bertahan lama jika pelbagai punca yang
memusnahkan sumber, tidak dibendung. Beliau pernah
membayangkan kepada Sang Bedal betapa kita hanya ada
beberapa tahun lalu untuk melihat ikan yang ada kerana
selepas itu sebahagian besar akan pupus dek pencemaran dan
pemusnahan karang selain pencerobohan di Taman Laut serta
perairan paya bakau.
Sang Bedal yakin dengan komitmen dan kesungguhan Ismail
untuk memperjuangkan nasib ikan serta kaki pancing. Diharap
akan tampil satu kertas kerja atau memorandum daripada PeMM
untuk diserahkan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat ini
kerana sumber perikanan negara ibarat telur di hujung tanduk
dan menanti masa untuk lenyap. Sang Bedal pernah membaca
beberapa kertas kerja Ismail. Justeru, Sang Bedal yakin
sebarang memorandum mengenai ikan mahupun kaki pancing
daripada PeMM selepas ini, akan mampu membawa anjakan
paradigma dalam pemikiran dan cetusan sikap baru di kalangan
pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Hasil Tani,
Kementerian Pelancongan serta Kementerian Belia dan Sukan.
Kepada Ismail, keupayaan dan kejayaan barisan
kepemimpinannya bagi sesi 2005/06 akan digunakan untuk
perhitungan sesi 2006/07. Tetapi berdasarkan rekod lebih
tiga tahun bekerja dengan beliau, Sang Bedal yakin Ismail
mampu melakukannya.
|